Bagi diri ini, falsafah pendidikan yang ingin saya terapkan ke dalam diri saya dan yang akan saya gunakan apabila mengajar kelak ialah sentiasa menjadi seorang guru yang baik dan dihormati oleh para pelajar. Saya percaya apabila seorang guru baik dan sentiasa menghormati pelajarnya INSYAALLAH para pelajar juga akan menghormati dan baik kepada guru tersebut.
Saya juga akan menerapkan disiplin yang baik kepada para pelajar saya terutamanya berkaitan dengan masa. Saya akan memastikan mereka menggunakan masa dengan sebaik mungkin kerana masa itu emas. Pengurusan masa sangat penting bagi seorang pelajar kerana apabila mereka dapat menguruskan masa dengan baik ini bererti mereka dapat menguruskan pelajaran mereka dengan sebaik mungkin.
Saya akan sentiasa menambahkan pengetahuan dengan pelbagai maklumat bukan sahaja tentang subjek yang saya ajar malah mengenai pengetahuan am yang berkaitan, hal ini kerana pelajar zaman sekarang lebih berfikiran jauh malah ada juga yang lebih bijak dari gurunya. Saya akan sentiasa mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu apabila masuk ke kelas agar apabila para pelajar menyoal sesuatu saya dapat menjawab dengan baik dan tidak gelabah. Apabila kita dapat menjawab sesuatu dengan yakin, saya percaya pelajar akan lebih menghormati kita dan yakin dengan kerjaya kita sebagai seorang guru tanpa mempersoalkannya.
Kerjaya seorang guru bukanlah sesuatu kerjaya yang mudah kerana kerjaya ini melibatkan masa depan anak bangsa. Jadi saya akan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa agar dapat menjadi seorang guru bitara dan seorang guru yang bertanggungjawab serta sentiasa menjadikan Falsafah Pendidikan Guru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Sains Kebangsaan sebagai panduan ke arah menjadi guru yang cemerlang kepada pelajar-pelajar yang bakal menjadi harapan negara.
No comments:
Post a Comment